Wednesday 26 October 2011

KESAN KEBIADABAN DI DUNIA SIBER

Saya terpanggil untuk mengulas artikel ini yang ditulis oleh Dr. Rahmat Ghazali, seorang pensyarah kewartawanan di UiTM Shah Alam. Dunia siber merupakan dunia sempadan dimana manusia dapat mencari maklumat dan informasi dengan cara yang mudah dan pantas hanya dihujung jari. Namun dengan adanya kemudahan seperti ini, ramai yang telah menyalahgunakan dunia siber seperti menyebarkan fitnah, melontarkan kemarahan kepada individu mahupun organisasi tertentu dan sebagainya. Ini tidak sepatutnya berlaku dimana kita merupakan bangsa yang beragama dan bertamadun.

Akta komunikasi dan multimedia 1998 (AKM 1998) dengan jelas mencatatkan “ Tiada apa-apa jua dalam akta ini boleh ditafsirkan sebagai membenarkan penapisan internet (AKM 1998:3:3). Namun begitu, kita harus ingat jaminan ini bagi membuka ruang kepada pelabur antarabangsa menjayakan projek hub ICT di Cyberjaya dan Putrajaya ketika zaman pemerintahan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad. Kemunculan internet disambut dengan gembira dan diguna secara habis-habisan bagi sesetengah pihak kerana internet lebih interaktif jika dibandingkan dengan media tradisional seperti suratkhabar dan majalah.  

Kebebasan berinternet merupakan medium untuk berkongsi maklumat, idea dan berhubung bagi membolehkan rakyat Malaysia duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan bangsa lain yang lebih maju dalam teknologi. Amatlah mendukacitakan apabila ada segelintir golongan yang cuba merosakkan keharmonian hidup di Malaysia dengan mencaci, menghasut, dan menggunakan kata yang kesat. Mereka seperti lupa dengan aspek kandungan dalam internet seperti yang terdapat dalam Akta Fitnah, Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi, dan Akta keselamatan Dalam Negeri.

Kebiadaban dunia siber menunjukkan kita cenderung kepada perkara negatif dan pemikiran yang sempit. Iran merupakan negara yang dipimpin oleh singa baru dunia Islam iaitu Presidennya, Ahmadinejad telah menyekat “ Facebook” dan mengharamkan carian “Google” kerana mahu mencegah rakyat negara itu daripada menerima anasir negatif dari luar khususnya.

Apa yang lebih membimbangkan kerajaan ialah, wujudnya sentimen perkauman yang boleh menjejaskan imej negara dan juga memporak-perandakan keharmonian negara. Contohnya seperti isu yang dicetuskan oleh seorang penulis blog yang menghina Almarhum Sultan Johor yang mangkat.  Tidak salah rasanya jika kerajaan memandang lebih serius perkara ini dan meminda akta yang sedia.

Kebebasan berinternet haruslah digunakan secara lebih beretika dimana manusia dikurniakan akal yang waras oleh Allah untuk berfikir dan bertindak dimana setiap tindak-tanduk kita ada akibatnya.




0 comments:

Post a Comment